Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah
Bismillahir Rahmanir Raheem ..Dato Dr Hj Fadzilah Kamsah adalah salah seorang tokoh yang aku hormati , ingin aku berkongsi serba sedikit tentang beliau yang aku rasa boleh diambil sebagai iktibar.. dan tauladan......
Mengakui masih ada gemuruh apabila berhadapan dengan orang ramai, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah mempunyai perjalanan unik menjadi salah seorang motivator nasional. Beliau melihat gemuruh adalah tanda pengucap awam itu menghormati tahap intelektual audien yang mendengar.
Berpengalaman mengendalikan lebih enam ribu kursus motivasi, Fadzilah mengakui pilihan keluar dari dunia makan gaji pada awalnya tidak dipersetujui oleh ahli keluarganya, iaitu ayahnya sendiri pada 15 tahun lalu ketika beliau masih menduduki jawatan profesor madya di universiti awam.
Jelas Fadzilah, tekanan kepada individu mencetuskan daya kreativiti dalam diri. Ia mencetuskan tenaga apabila berhadapan dengan cabaran. Niat merangsang orang lain ke arah perubahan juga dilihat sebagai satu tekanan kepada diri agar memberikan sesuatu yang terbaik.
Budaya membaca yang diterapkan dalam amalan hidup menjadikan Fadzilah lebih bersedia dan peka dengan keadaan semasa yang menuntut perubahan. Menjadikan amalan membeli sepuluh buah buku sebulan, beliau memastikan tiga hingga empat buah buku selesai dibaca dalam tempoh seminggu.
Memetik kata-kata, “Apabila kamu membandingkan diri kamu dengan orang lain, maka kamu telah menghina diri kamu,” menjadikan Fadzilah Kamsah terdorong melihat pembahagian kehebatan diri manusia oleh Allah adalah setara tetapi dalam pakej yang berbeza. Di sini perlunya bagi individu memahami dan mengurus bakat yang sedia dimiliki.
No comments:
Post a Comment