Aku tiada bakat sebagai seorang pencerita yang hebat...tapi aku percaya gambar boleh menyampaikan ceritanya untuk menjadi sebuah sejarah...kerana sekeping gambar memberi seribu pengertian.

Monday 19 September 2011

Evolusi Fotografi Perkahwinan


FOTOGRAFI perkahwinan antara perkara paling penting dan wajib, malah tidak seharusnya dilupakan. Sama penting dengan hantaran dan pelamin, fotografi perlu berada dalam susunan persiapan perkahwinan utama.

Dijadikan kenangan, masyarakat dulu mengabadikan foto perkahwinan secara eksklusif dalam studio berlatarbelakangkan gambar tertentu, selain bergambar di pelamin dan bilik tidur. Namun, kini bagaikan satu evolusi baru dalam dunia fotografi perkahwinan, pengantin moden lebih gemar mengabdikan perkahwinan dengan penggambaran di luar lokasi majlis.
Di kenali sebagai ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’, penggambaran luar lebih eksotik apabila ada pengantin memilih lokasi mencabar seperti di tepi pantai, sawah padi, dalam hutan dan menariknya di tengah kota raya.
Evolusi bidang fotografi perkahwinan semakin luas, malah perspektif semakin berkembang mengikut idea dan trend semasa. Gambar seperti aksi tegak di pelamin dan bilik tidur kurang menjadi perhatian sebaliknya gaya lebih spontan atau 'candid' menjadi pilihan terkini kerana pengantin berasakan ia memberi kesan terbaik dalam fotografi perkahwinan.
Spontan adalah teknik terkini yang lebih digemari pengantin dan jurugambar kerana ia nampak lebih semula jadi dan tidak dibuat-buat. Contohnya, gambar senyuman dan ketawa secara spontan lebih cantik daripada senyuman dipaksa.
Selari dengan kehendak dan penawaran daripada jurugambar profesional, pengantin moden lebih gemar bergambar di luar lokasi persandingan. Gaya penggambaran ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’ sudah mula mendapat pendedahan kira-kira lima tahun lalu, malah menjadi semakin popular pada masa kini.
Berkongsi pandangan mengenai dunia penggambaran luar pengantin, jurugambar perkahwinan profesional, Mohd Subhi Karim, berkata konsep itu bermula daripada idea jurugambar di Barat.
“Konsep itu menjadi ikutan apabila ia dimulakan oleh jurugambar perkahwinan di Eropah sebagai konsep penggambaran praperkahwinan di kalangan masyarakat Barat. Lantas, idea itu diguna pakai jurugambar di negara ini untuk penggambaran pengantin masyarakat Cina di Malaysia sebelum tersebar luas di kalangan masyarakat Melayu.
“Walaupun konsep itu datang dari luar, sebenarnya idea terhadap lokasi dan penggambaran datang daripada jurugambar sendiri. Jurugambar yang kreatif semestinya mempunyai idea tersendiri dan cara masing-masing untuk mengendalikan sesi penggambaran setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, pengantin moden masa kini lebih gemar memilih kawasan seperti tepi pantai, sawah bendang, bangunan atau rumah usang, rumah tradisional dan lorong kecil di celah bangunan. Selain itu, ada juga yang ingin bergambar kenangan di stesen kereta api dan belukar.
“Sungguhpun begitu, kepercayaan yang diberikan kepada jurugambar mengatasi segala-galanya. Mereka sanggup bergambar asalkan gambar tampak berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri. Bagaimanapun, konsep ini tiada banyak beza dari segi teknik penggambaran, cuma yang memberi kelainan ialah pengarahan ketika bergambar. Jurugambar peka dan melihat dengan tepat lokasi serta cara pengarahan yang sesuai,” katanya.
Mohd Subhi tidak menafikan bidang fotografi turut mengundang pelbagai cabaran membabitkan kedua-dua pihak iaitu jurugambar dan pelanggan. Cabaran kepada jurugambar antaranya ialah bagaimana ingin mendapatkan gambar menarik dengan unsur yang ada pada lokasi penggambaran di dalam elemen gambar perkahwinan pengantin.
“Selain itu, pengantin turut terpaksa mengetepikan soal malu ketika melakukan penggambaran walaupun sarat dengan pakaian pengantin. Bersanggul tinggi, berselendang, pakaian yang berat dan sarat di kawasan yang dikatakan menarik, tidak menghalang mereka untuk terus mendapatkan gambar fotografi perkahwinan yang diidamkan,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan jurugambar menggalakkan pelanggan mereka melakukan penggambaran praperkahwinan sebagai koleksi tambahan dalam gambar perkahwinan mereka. Namun, proses itu memerlukan perbincangan dan suai kenal supaya keserasian itu ada bagi memudahkan sesi penggambaran.
Sejak menceburkan diri dalam bidang fotografi perkahwinan ini, Mohd Subhi berkata, beliau tidak nampak kenapa bakal pengantin perlu menolak pakej penggambaran luar kerana ia sangat menarik dan hasilnya boleh menjadi tatapan seumur hidup.
“Saya mencipta identiti sendiri dengan menggabungkan beberapa elemen menerusi jurugambar perkahwinan antarabangsa antaranya Joe Buissink iaitu jurugambar legenda daripada Masters of Wedding Photography dan Jessica Claire yang menghasilkan karya terang dan menyerlah. Selain itu, saya juga meminati seorang jurugambar dari Indonesia, Kenvin Pinardy kerana beliau mempunyai identiti seni halus dalam karya gambar perkahwinan,” katanya.
Walaupun ada yang berpendapat kos jurugambar perkahwinan sangat mahal, Subhi berkata, setiap jurugambar mempunyai pakej berbeza mengikut kemahiran, pengalaman, kualiti hasil kerja dan khidmat ditawarkan. Ada yang serendah RM800 dan ada juga yang menawarkan harga setinggi RM8,000 bergantung kepada hasil kerja dan kualitinya.
“Sebagai jurugambar perkahwinan saya menasihatkan kepada bakal pengantin, pilihlah jurugambar anda dan kualiti. Jangan hanya melihat kepada harga menarik, tetapi hasilnya pula menghampakan,” katanya.
Perkahwinan hanya sekali dalam seumur hidup. Walaupun ditakdirkan perkahwinan berlangsung lebih daripada sekali, majlis pertama kali itu adalah yang paling bermakna dalam hidup semua orang. Sematkan kenangan abadi majlis perkahwinan bersama insan tersayang bukan saja dalam acara majlis tetapi di luar lokasi persandingan.
Panduan memilih jurugambar untuk majlis perkahwinan:
  • Lakukan kaji selidik dan perbandingan mengenai jurugambar, perbezaan tawaran, kualiti, pakej yang ditawarkan serta harga.
  • Tempah jurugambar seawal enam bulan sebelum menjelang majlis.
  • Pilih jurugambar yang sesuai dan berkebolehan untuk merancang setiap penggambaran bermula daripada majlis pernikahan sehingga ke jenjang pelamin mengikut selera pasangan pengantin sendiri.
  • Berbincang dan lakukan suai kenal antara jurugambar dan pengantin supaya kedua-dua belah pihak serasi ketika melakukan penggambaran.
  • Buat senarai gambar harus ada diambil oleh jurugambar supaya tidak berlaku perselisihan faham dan tidak tertinggal gambar yang sangat penting dalam hidup.
  • Pembayaran bergantung kepada perbincangan.
  • Jangan bayar jumlah keseluruhan jika hasil belum diterima.
  • Lihat terlebih dulu gambar yang sudah dimuatkan dalam album sebelum proses percetakan dilakukan. Ini supaya jika ada perubahan, boleh diperbetulkan.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...