Aku tiada bakat sebagai seorang pencerita yang hebat...tapi aku percaya gambar boleh menyampaikan ceritanya untuk menjadi sebuah sejarah...kerana sekeping gambar memberi seribu pengertian.

Sunday 19 February 2012

INFO PERKAHWINAN MELAYU

Menurut kamus dewan, adat bermaksud peraturan yang lazimnya dijalankan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat diikuti. Antara adat perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Tujuan diadakan kenduri perkahwinan atau walimatul urus ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan tersebut telah pun berkahwin seterusnya mengelakan fitnah. Terdapat beberapa adat yang dijalankan sebelum dan semasa walimatulurus, iaitu rewang, mandi limau, menyambut menantu, cukai pintu dan makan beradap.

Rewang (GOTONG ROYONG)
Rewang adalah acara persiapan yang dijalankan sebelum majlis walimatul urus. Rewang atau gotong-royong kebiasannya dilakukan oleh penduduk kampung atau jiran tetangga untuk membantu tuan rumah menyediakan persiapan ketika atau sebelum kenduri perkahwinan. Selain itu, penanggah juga bertanggungjawab menghidangkan makanan atau juadah kepada para tetamu. Kebiasaanya tuan rumah akan memberi upah kepada jiran tetangga yang membantu dalam bentuk wang atau hadiah. Walau bagaimanapun, adat rewang ini semakin pudar dikalangan masyarakat Melayu kerana budaya ‘buffet’ atau ‘katering’ kian popular dan sering diamalkan oleh masyarakat kita.

Mandi Limau
Terdapat satu lagi adat yang penting namun masyarakat pada zaman ini tidak ramai mengamalkannya . Adat yang dimaksudkan ialah mandi limau. Ketika adat ini dijalankan, pengantin akan duduk diatas pelamin dalam pakaian terbaik dihadapan para tetamu. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. Selepas itu, emak pengantin akan memercikkan air sintuk atau limau purut pada pasangan pengantin. Tujuan adat ini dijalankan adalah untuk membuang sial pada pasangan pengantin. Adat ini dijalankan sebelum kenduri kahwin dijalankan.

Menyambut Menantu dan Cukai Pintu
Adat atau acara yang popular ketika walimatul urus dijalankan ialah adat menyambut menantu. Ketika ini, suami atau isteri dan keluarganya akan membawa pengantin perempuan atau lelaki bertandang ke rumah mereka. Sebelum pengantin lelaki dibenarkan masuk ke rumah pengantin perempuan, adat cukai pintu dikenakan ke atas pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan memberi wang kepada pengapitdan kaum keluarga terdekat si pengantin perempuan. Kebiasaanya, wang yang diberi bergantung kepada si pengantin lelaki. Selepas selesai upacara tersebut, barulah si pengantin lelaki di banarkan masuk dan melihat si pengantin perempuan.

Kompang, Silat dan Tarian
Sepanjang kenduri dijalankan , terdapat juga beberapa hiburan di jalankan. Iringan paluan kompang berkumandang mengiringi mempelai memeriahkan lagi majlis perkahwinan. Selain itu, seni silat turut dipersembahkan dihadapan pengantin di tambah dengan tarian yang dipersembahkan untuk menghiburkan pengantin dan para tetamu. Adat istiadat ini masih diamalkan oleh masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Namun, pada zaman sekarang, beberapa bentuk hiburan yang moden dipersembahkan seperti nyanyian karaoke dan ditambah dengan celoteh deejay yang dijemput khas bagi memeriahkan majlis perkahwinan.

Makan Beradap
Di samping itu, terdapat satu lagi adat yang wajib dilakukan ketika kenduri perkahwinan dijalankan, iaitu makan beradap. Makan beradap kebiasaanya dijalankan untuk pasangan pengantin dan turut ditemani oleh ibu bapa kedua-dua mempelai. Hidangan yamg disediakan untuk adat makan beradap lebih istimewa berbanding makanan yang lain. Kemuncak untuk adat ini ialah pengantin lelaki dan perempuan akan menyuapkan makanan kepada pasangan mereka. Adat makan beradap diakhiri dengan upacara memotong kek ataupulut kuning. Kemudian dihidangkan kepada para tetamu yang dijemput.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...