Aku tiada bakat sebagai seorang pencerita yang hebat...tapi aku percaya gambar boleh menyampaikan ceritanya untuk menjadi sebuah sejarah...kerana sekeping gambar memberi seribu pengertian.

Monday 19 December 2011

5 Sikap Buruk Sebelum Perkahwinan Yang Perlu Ditinggalkan



As-Salam.
Memang sukar sebenarnya nak membuang tabiat masa bujang. Apatah lagi jika ia sangat menyeronokkan, namun apabila sudah berkahwin, sudah punyai anak, tabiat dan sikap lama terutama yang memberikan keburukan haruslah ditinggalkan. Tak perlu disimpan kerana kehidupan anda sewaktu bujang dengan yang ada kini adalah sesuatu yang berlainan. Ia satu fasa lain dalam kehidupan.

Hijrahkan diri untuk menjadi yang lebih baik dari masa lampau. Mungkin agak sukar pada awalnya, tetapi lama kelamaan, dengan usaha, dengan doa, semuanya boleh. Malaysiakan Boleh.... Anda Boleh!! Jjangan putus asa, berusahalah menghapus segala keburukan itu untuk kebahagiaan berkekalan. InsyaAllah.

5 Sikap Buruk Sebelum Perkahwinan Yang Perlu Ditinggalkan

1. Cemburu Yang Berlebihan
Sewaktu suami sedang berbual dengan teman lamanya (wanita) di laman web sosial sebaiknya isteri perlu bersikap tenang dan positif. Selagi berada di landasan yang betul, hal tersebut adalah satu tindakan yang tidak perlu diperbesarkan. Perasaan cemburu tidak bertempat hanya membuatkan rumah tangga panas dan banyak kongkongan. Tidak dinafikan, cemburu memang perlu tetapi biarlah berpada kerana itulah tanda cinta. Tetapi jika berlebihan, mengundang padah yang merosakkan.

2. Membuka Aib Pasangan
Setiap insan punyai kelebihan dan kekurangan. Lantaran itulah kita perlu menghormatinya dengan tidak menjajanya kepada sesiapa. Lebih-lebih lagi rahsia keluarga atau kitalah orang kepercayaannya. Dalam ikatan rumah tangga, baik isteri mahupun suami kelemahan diri perlu ditutup sebaik mungkin. Terimalah pasangan anda seadanya kerana keikhlasan yang terbit dari hati mencetus bahagia sampai bila-bila.

Meskipun pasangan bertukar-ganti, belum tentu dia lebih baik dari sebelumnya. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan belajarlah untuk redha. Simpan sebaiknya aib, kekurangan atau masalah pasangan dari diketahui umum. Nescaya, pulangan yang diterima berkali-kali ganda.

3. Dikuasai Perasaan Hasad Dengki
Setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati. Tetapi bila diserang PHD (penyakit hasad dengki) tiada klinik mampu berikan ubat yang terbaik. Buatlah apa jenis pembedahan, suntiklah apa jua vaksin tetapi jika tiada keinginan mengubah dari hati, sudah pasti jalan kegagalan sedia menanti.

Sebagai pasangan suami isteri, perasaan dengki, suka menunjuk dan iri hati perlu dihapuskan serta merta. Jangan nanti bila melihat jiran sebelah menukar perabot baru maka kita pun ingin melakukan perkara yang sama biarpun kemampuannya paras-paras hidung sahaja. Mangsanya, suami ''melengkung'' melangsaikan hutang demi memenuhi kehendak isteri tersayang.

Seharusnya bersyukurlah sentiasa dan cukuplah dengan apa yang ada. Usah merenung kelebihan orang lain hingga menangisi nasib sendiri. Berubahlah ke arah yang lebih positif bagi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

4. Keinginan Melakukan Kemungkaran
Tabiat buruk seperti berjudi, minum arak, seks bebas dan sebagainya adalah tindakan-tindakan yang mendorong ke arah kehancuran. Jangan sesekali terjebak dalam aktiviti sebegini yang hanya akan menjunamkan diri ke lembah hina. Tapi sebagai manusia pasti tidak terlepas dari melakukan kesilapan, jika terlanjur melakukannya segeralah bertaubat.

Tinggalkan segera sebelum ditimpa pembalasanNya. ''Cuci tangan'' sebelum masalah berpanjangan. Ingatlah bahawa Allah sangat membenci hamba-hambaNya yang melakukan kemungkaran. Di dunia lagi Tuhan telah tunjukkan balasan seperti perpecahan keluarga, kemerosotan ekonomi dan macam-macam lagi. Bukan pada diri sendiri malah pasangan, keluarga serta masyarakat turut merasa tempiasnya. Jagalah kehormatan diri dan keluarga selain berdoa pada Yang Maha Kuasa agar sentiasa terpelihara.

5. Sensitif Dan Cepat Emosi
Hidup berumah tangga, suami atau isteri perlu menjalin kasih sayang dengan baik. Jangan kerana hal-hal yang kecil membuatkan masing-masing bermasam muka hingga berhari-hari lamanya. Kalau boleh, jangan bangkitkan kemarahannya dengan bercerita kenangan lama dengan bekas kekasih atau meluahkan tentang keburukan dan kekurangan diri serta keluarganya.

Sedarlah bahawa memuji lelaki atau wanita lain di hadapan pasangan juga boleh membuatkan si dia berkecil hati. Begitu juga sekiranya tidak peka dengan kegemaran atau kesukaannya. Hal-hal yang disebutkan tadi adalah sebahagian dari perkara yang boleh membuatkan si dia menjauh diri sekali gus menimbulkan kemarahan.

Ingatlah, walau siapa pun pasangan anda, usah sekali-sekali meremehkan atau merendahkan kebolehan dirinya. Kerana itulah, sebelum memutuskan untuk mengikat janji setia membina mahligai bahagia maka selidikilah dirinya sedalam-dalamnya. Jangan sampai menyesal di kemudian hari sampai melakukan dosa yang ada kalanya tidak disedari.

Sumber: Mingguan Wanita

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...