( copy daripada / satu pengalaman dan penceritaan yang amat dekat dengan aku.. )
Puji, Kritik dan Kutuk
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com
Oleh: Hasnuddin Abu Samah untuk fototeacher.com
Untuk perbaiki karya fotografi kita, kita perlukan komen, malah kritikan dari individu lain. Dengan ini, barulah kita nampak kelemahan kita yang perlu diperbaiki. Dengan cara ini juga kita akan dapat input baru hasil dari pendapat, menerusi pengalaman orang yang memberikan komen kepada gambar kita.
Tapi, adakah anda ikhlas ingin belajar dengan menerima komen dari orang lain? Adakah anda akan berpuas hati dengan komen yang diberikan kepada gambar anda? Hakikatnya, kebenaran memang adakalanya pahit ditelan.
Bila dilihat dalam blog, foto blog dan sebagainya, rakan-rakan yang memberikan komen kepada gambar kita selalunya akan memberikan komen yang baik saja mengenai gambar yang kita rakam. Ini semata-mata untuk menjaga hati dan menjalinkan hubungan yang baik. Kita perlu menganggap komen ini sebagai komen sosial yang tidak membantu perkembangan fotografi kita. Kalau kita rasa bangga dan berpuas hati dengan komen sosial yang diberikan ini, alamatnya, kita takkan kemana dalam fotografi.
Masyarakat kita tidak mudah menerima kritikan. Masyarakat kita juga tidak pandai memberikan kritikan. Kritikan yang baik harus diberikan dengan cara yang berhemah. Kritikan yang baik perlu disertakan dengan fakta yang kukuh. Ianya juga sebaiknya desertakan dengan panduan atau cadangan bagi membantu orang yang dikritik itu memperbaiki hasil kerjanya.
Kita harus boleh bezakan antara mengkritik dan mengutuk. Kita harus boleh bezakan diantara kritikan membina dan cacian yang mengaibkan. Jadi, untuk kemajuan kita bersama, kita harus bijak mengkritik dan harus rasional dalam menerima kritikan. Barulah kita semua boleh maju dalam bidang fotografi.
Tidak ada sesiapa yang sempurna. Tidak ada gambar yang sempurna. Walau sehandal manapun kita dan walau secantik manapun gambar kita, sentiasa masih ada ruang untuk memperbaiki. Jadi, sentiasa akan ada ruang untuk dikritik. Untuk sentiasa maju, kita harus sentiasa boleh dikritik.
Dalam konteks untuk memperbaiki diri, bila ada orang puji gambar anda, anda kena pertimbangkan 2 perkara ini: iaitu yang pertamanya orang itu tidak cukup hebat dalam fotografi dan yang keduanya, anda adalah orang yang malang sebab anda sudah tidak ada ruang untuk belajar dan memperbaiki diri.
Namun, bila dikritik, adakalanya, anda perlu mempertahankan pendirian anda jika anda ada sebab yang kukuh. Anda tidak perlu menerima semua kritikan bulat-bulat. Sebab, kadangkala, orang yang mengkritik itu pun sebenarnya tidak layak untuk mengkritik.
No comments:
Post a Comment